thumbnail

MAJLIS PENYERAHAN KOMPUTER RIBA SUMBER WANG ZAKAT TABUNG HAJI

20 Oct 2024, 09:45:22

17 Oktober 2024

Pejabat Wakaf dan Endowmen UniSZA telah mengadakan satu Majlis Penyerahan Komputer Riba menggunakan sumber wang zakat Tabung Haji yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Wakaf dan Endowmen UniSZA.

Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che’ Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniSZA,tetamu jemputan,Tuan Haji Nizan Johar bin Abdul Wahab, Pengarah Tabung Haji Negeri Terengganu serta Encik Haji Lutfi bin Safuan, Ketua Pemasaran Negeri Tabung Haji Terengganu. Turut hadir juga timbalan-timbalan dekan fakulti bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

 Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmen, Dr Ahmad Faizol bin Ismail. Dalam ucapan aluannya, beliau menekankan kepentingan program seperti ini untuk meningkatkan akses pendidikan bagi pelajar asnaf. “Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan antara UniSZA dan Tabung Haji untuk membantu golongan yang memerlukan dan memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk berjaya,” katanya.

Menerusi ucapan daripada pihak Tabung Haji, selaku penyumbang utama dalam majlis ini menyatakan komitmennya untuk terus menyokong program-program seumpama ini pada masa akan datang, dengan tujuan membantu lebih ramai pelajar asnaf di seluruh negara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Sebanyak 10 komputer riba telah diserahkan kepada pelajar asnaf yang terpilih daripada pelbagai fakulti dan penyerahan dibuat oleh Timbalan Naib Canselor HEPA bersama Pengarah Tabung Haji.

Bantuan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dengan sebaik-baiknya dalam proses pembelajaran, terutama dalam era pembelajaran digital yang semakin berkembang.