thumbnail

MICROBES FUN - COMMUNITY BASED RESEARCH (CROWDFUNDING UNISZA)

07 May 2025, 08:34:49

Program Microbes Fun merupakan satu Community Based Research (crowdfunding UniSZA). Geran komuniti ini telah diluluskan dari 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2024 yang diketuai oleh Dr. Noor Zarina Abd Wahab bersama ahli-ahli projek iaitu Prof. Madya Dr. Wan Rohani Wan Taib dan Dr. Napisah Hussin. Projek ini telah mendapat dana dan kerjasama daripada rakan industri iaitu Premier Integrated Lab Sdn Bhd dan crowdfunding Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).  Program ini juga mendapat kerjasama dan sokongan yang erat dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Persatuan Pelajar Diagnostik (DiagSA) turut membantu sebagai pemudah cara dan fasilitator sepanjang program ini dilaksanakan.

Program Microbes Fun diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tahun 6 di sekolah rendah kebangsaan di sekitar daerah Kuala Nerus tentang bidang mikrobiologi. Program ini juga dapat memberikan pengetahuan kepada murid-murid tentang peranan mikroorganisma dalam kehidupan seharian serta menerangkan kepada murid-murid faedah, potensi dan bahaya mikroorganisma yang berbeza. Selain itu, melalui program ini, murid-murid juga didedahkan kepada cara dan kepentingan menjaga kebersihan yang betul. Program ini juga dapat menanam minat murid-murid kepada pembelajaran STEM.  

Program ini telah melibatkan 6 fasa iaitu Microbes Fun 1.0 – 6.0 sepanjang tahun 2024. Program Microbes Fun 1.0 telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada 13 Januari 2024. Program ini telah berjaya mendapat penglibatan seramai 17 orang murid tahun 6. Pada 23 Mei 2024, Program Microbes Fun 2.0 telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, Terengganu dan berjaya mendapat penglibatan seramai 94 orang murid tahun 6. Program Microbes Fun 3.0 pula telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, Terengganu pada 21 Julai 2024. Program ini telah berjaya mendapat penglibatan seramai 21 orang murid tahun 6. Program Microbes Fun 4.0 telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu pada 17 Oktober 2024. Program ini telah berjaya mendapat penglibatan seramai 57 orang murid tahun 6. Manakala Program Microbes Fun 5.0 telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu pada 24 Oktober 2024. Program ini telah berjaya mendapat penglibatan seramai 70 orang murid tahun 6. Fasa terakhir Program Microbes Fun 6.0 pula telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu pada 7 November 2024 melibatkan 53 orang murid tahun 6.

Program ini telah berjaya meningkatkan minat dan pemahaman murid-murid terhadap bidang mikrobiologi, di mana mereka mendapat pendedahan secara langsung mengenai pelbagai jenis mikroorganisma, termasuk bakteria, fungi, parasit dan virus. Melalui program ini, mereka dapat memahami struktur dan jenis-jenis mikroorganisma. Program ini membantu mereka memahami faedah, potensi, dan bahaya pelbagai jenis mikroorganisma. Kesedaran ini amat penting dalam membimbing mereka untuk lebih berhati-hati dan peka terhadap mikroorganisma yang mereka mungkin terdedah dalam kehidupan seharian. Ini membantu mereka menghargai kehadiran mikroorganisma yang bermanfaat dan memahami potensi risiko yang dibawa oleh mikroorganisma yang berbahaya.

Peserta yang terlibat telah memberi maklum balas yang sangat positif dan memberikan kerjasama sepenuhnya semasa program berlangsung. Mereka juga mengharapkan agar program seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

BERITA MICROBE.jpg 280.88 KB