Latar Belakang Projek
Program Pemerkasaan Pendidikan Kenegaraan kepada Belia Aliran Teknikal bagi Mencapai Aspirasi Belia Madani hadir bertepatan dengan pelaksanaan Rang Undang[1]Undang Undi18. Ianya juga selaras dengan matlamat ke[1]16 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu mencapai keamanan, keadilan dan pertubuhan kukuh (Peace, Justice and Strong Institutions). Rang Undang-Undang Undi 18 yang baharu sahaja diluluskan membenarkan warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya merupakan manifestasi komitmen Malaysia memperkasa suara belia, sekaligus bertepatan dengan matlamat Dasar Pembangunan Belia Negara yang berhasrat melahirkan belia bersemangat patriotik dan aktif berpartisipasi.
Pembuktian Permasalahan / Keperluan Komuniti
Tidak disangkal lagi, RUU Undi 18 merupakan satu langkah kehadapan dan berani yang telah diambil oleh Parlimen Malaysia. Malaysia kini bersekali dengan 205 negara di dunia termasuk Thailand, Kanada, Denmark, Jepun dan Amerika Syarikat yang menurunkan had umur kelayakan mengundi dan menjadi wakil rakyat daripada 21 tahun ke 18 tahun. Ianya juga merupakan satu pengiktirafan kepada golongan belia untuk sama - sama berpartisipasi dan menjadi sebahagian daripada suara rakyat Malaysia. Benarlah bahawa ukuran kematangan demokrasi sesebuah negara adalah bergantung kepada sejauh mana suara orang muda didengari. Ini adalah kerana, mereka merupakan cerminan masa hadapan negara. Namun, permasalahan paling ketara yang menyebabkan azam untuk mengangkat suara rakyat seramai mungkin akan terbantut adalah berkenaan dengan ceteknya tahap pengetahuan politik, kenegaraan dan demokrasi dalam kalangan golongan belia, di samping ketiadaan minat terhadap topik – topik berkaitan dengan pilihanraya, pendemokrasian, pemilihan pemimpin yang berkualiti, dan isu – isu semasa yang melingkari negara (Lee, 2020; Mohd. Azmir & Sabri, 2020). Ini dibuktikan oleh dapatan World Value Survey - Malaysia Chapter (2010-2014) yang mendapati terdapat jurang lebar di antara penyertaan politik belia (65.4%) dan dewasa (92.5%), dengan belia 3 Melayu merekodkan penyertaan politik paling tinggi (68%) berbanding belia India (63%) dan Cina (59%). Begitu juga dengan kadar keluar mengundi kohort belia pada PRU14 adalah jauh lebih rendah berbanding kohort 40-59, 60-79 and 80 ke atas. Dalam kalangan belia terpelajar sekalipun, hanya 27% peratus sahaja pelajar universiti mendaftar sebagai pengundi (Khairunnisa & Junaidi,2020). Belia dalam lingkungan umur 18 – 21 tahun baru selesai melalui alam persekolahan dan sibuk merencana masa hadapan, dengan samada menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi atau pun mula mencari bekerja. Perihal politik dan kenegaraan tidak menjadi keutamaan buat mereka. Sifat tidak peduli politik ini diburukkan lagi dengan ketiadaan silibus khas berkaitan dengan politik, demokrasi dan kenegaraan di sekolah (Haslina et al.,2020; Khairunnisa & Junaidi,2020). Para pengundi muda ini juga mudah menjadi mangsa ancaman politik berasaskan materialisme, gagal menapis berita tidak sahih yang berleluasa di media sosial dan mudah dipengaruhi oleh ibu bapa, rakan – rakan atau suasana sekeliling mereka. Lebih parah lagi golongan belia terpinggir yang berada di pusat Latihan kemahiran/teknikal yang langsung tidak menerima pendedahan mengenai ilmu kenegaraan berbanding rakan-rakan seusia yang berada di Universiti. Di Universiti, para mahasiswa didedahkan dengan beberapa subjek terkait kenegaraan dan demokrasi. Pihak yang terlibat secara langsung dengan perkembangan belia seperti Majlis Belia Malaysia, Belia 4B, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Malaysia Association Youth Council (MAYC) menyambut baik RUU Undi 18, namun bimbang akan tahap literasi politik generasi milenial 18-21 tahun ini. Kesatuan-kesatuan belia juga bersetuju akan keperluan mendesak untuk diadakan program-program pendidikan politik dan kenegaraan khusus kepada generasi milenial agar mereka keluar mengundi dan mena’kul isu-isu semasa dengan rasional. Selain daripada itu, permasalahan berita tidak sahih yang tular di media sosial akan memerangkap pengundi baharu ini. Kegagalan mereka untuk menapis setiap berita dan mena’kul laporan dengan rasional, liputan dan komentar di media sosial bukan setakat mampu mempengaruhi undi mereka, malah mampu merubah sebuah kerajaan (Chinnasamy & Manaf, 2018; Waikar, 2020).
Objektif
1. Memberi pengetahuan tentang sistem pentadbiran dan asas berkerajaan kepada belia aliran teknikal di Terengganu menggunakan laras bahasa orang awam.
2. Memberi pengetahuan tentang bagaimana proses pendemokrasian dan pilihanraya di Malaysia kepada belia aliran teknikal di Terengganu menggunakan laras bahasa orang awam.
3. Membentuk minda tentang pentingnya belia aliran teknikal di Terengganu mempunyai ilmu kenegaraan yang autentik agar menjadi panduan dalam membuat keputusan rasional dalam pilihanraya.
4. Memberi panduan kepada belia aliran teknikal di Terengganu tentang penapisan berita palsu dan isu semasa di media sosial.
Kaedah Pelaksanaan
Program Pemerkasaan Belia Aliran Teknikal bagi Mencapai Aspirasi Belia Madani adalah susulan kepada kejayaan Seminar Generasi Milenial Terengganu yang digerakkan oleh Ketua Penyelidik dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Terengganu. Setakat ini, 32 institusi pengajian melibatkan generasi milenial 18-21 tahun telah menerima manfaat daripada program ini. Oleh kerana terdapat keperluan mendesak untuk melebarkan lagi manfaat dan isi kandungan program pendidikan kenegaraan ini kepada lebih ramai belia Terengganu, adalah menjadi keutamaan agar program pendidikan kenegaraan ini disebar dengan lebih meluas lagi dengan kerjasama pertubuhan belia paling besar dan berpengaruh di Malaysia, iaitu Majlis Belia Malaysia. Program Pemerkasaan Belia Aliran Teknikal bagi Mencapai Aspirasi Belia Madani akan memanpatkan silibus “Politik dan Kenegaraan Malaysia” selama 14 minggu di universiti kepada program berdurasi 6 jam (9 pagi – 4 petang). Sedar akan demografi audiens bukan berlatarbelakang sains sosial, program ini menggunakan modul “UNDI18 @School” yang digarap menggunakan laras bahasa orang awam. Kemantapan modul yang dibina oleh Ketua Penyelidik telah menerima tujuh pingat emas di pertandingan-pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Program adalah bersifat ceramah interaktif, video animasi pendek, simulasi pilihanraya dan pembentangan dalam kumpulan. Selain pulang dengan ilmu, peserta juga dibekalkan dengan nota bergrafik ringkas yang merangkumi isi kandungan ceramah bagi tujuan ulangkaji dan rujukan semula. Sebelum Program bermula, peserta perlu menjawab soalan pre-test di platfom Google Form, dan apabila selesai program, peserta perlu menjawab soalan yang sama (post-test). Ini bertujuan untuk mengukur kefahaman para peserta sebelum dan selepas menyertai program .
Dana yang ingin dikumpulkan adalah sebanyak RM 11880 . 90% daripada dana yang disumbangkan ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan untuk menjalankan projek/penyelidikan/aktiviti ini. 10% daripada jumlah yang disumbangkan akan dimasukkan ke dalam tabung endowment penyelidikan UniSZA. Dana ini akan dilaburkan dan keuntungan yang bakal dijana akan digunakan untuk mendanai aktiviti penyelidikan UniSZA pada masa akan datang
RM 5,000.00
RM 10.00