BAJA KOMPOS BLACK SOLDIER FLY (BSF): TRANSFORMASI DARI SISA KE KEKAYAAN

Projek ini bertujuan untuk mendedahkan murid tentang teknik penghasilan baja kompos secara semulajadi melalui pembelaan lalat askar hitam (Black Soldier Fly, BSF) dengan kos yang rendah di sekolah.

campaign-thumbnail
ENDOWMENT

RM 210.00

Target — RM 7,500

4

Contributions

Share this campaign

 Latar belakang projek  

Projek Baja Kompos Black Soldier Fly (BSF): Transformasi dari Sisa ke Kekayaan ini akan melibatkan komuniti Sekolah Kebangsaan Beting Lintang (SEBINTANG) di Kampung Beting Lintang, Besut, Terengganu. Projek ini akan dilaksanakan oleh para pensyarah dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), UniSZA Kampus Besut. Projek dicadangkan diadakan selama 6 bulan bermula Oktober 2023 hingga Mac 2024. Sasaran peserta adalah 20 orang murid SEBINTANG iaitu 10 orang murid dari setiap Tahun 4 dan Tahun 5.  Matlamat utama projek ini adalah untuk memberi ilmu pendidikan dan pendedahan secara ‘hands-on’ tentang kepentingan pengurusan sisa yang baik untuk kelestarian alam sekitar dan teknik pertanian secara fertigasi dikalangan murid sekolah. Selain itu, projek ini juga membantu menjana pendapatan sekolah dan keluarga melalui hasil baja kompos dan tanaman yang dihasilkan. Ia juga mampu meningkatkan minat dan kemahiran murid sekolah rendah berkaitan sains dan teknologi terutama dalam bidang kelestarian alam sekitar dan pertanian. Melalui projek ini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara sekolah, komuniti setempat dan universiti. 

 Pembuktian permasalahan / keperluan komuniti  

 Mengurangkan sisa makanan di peringkat isi rumah menjadi agenda penting dalam menuju ke arah kelestarian alam sekitar. Dianggarkan setiap rakyat Malaysia membuang lebih kurang 8 kg sehari sisa makanan. Kebelakangan ini, lalat askar hitam (Black Soldier Fly) atau BSF telah mendapat perhatian dan pengiktirafan secara global kerana keupayaan larvanya yang luar biasa untuk menukar sisa organik dengan cekap kepada baja kompos dikenali sebagai fras.  

Ciri-ciri BSF ini yang bukan perosak dan pembawa penyakit, tidak menyengat, tidak menggigit, pertumbuhan yang cepat iaitu antara 38-45 hari satu kiraran, dan mampu menguraikan sehingga 80% sisa organik menjadikan ia sangat sesuai dibela dengan penyelenggaraan yang rendah. Kajian menunjukkan satu tan sisa makanan yang dimakan oleh larva BSF mampu menghasilkan 100 kg baja kompos fras dalam masa sekitar 15 hari sahaja. Kajian selanjutnya membuktikan yang baja kompos BSF kaya dengan nutrien seperti nitrogen, fosforus, potasium, enzim dan mikrob yang penting dalam membantu meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman dengan baik. Selain itu juga, larva BSF yang berprotein tinggi boleh juga dijadikan makanan tambahan kepada ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Oleh itu, penggunaan BSF merupakan kaedah terbaik dalam menguraikan sisa makanan secara semulajadi dengan cepat dan mampan dengan kos yang rendah.   

Sekolah Kebangsaan Beting Lintang atau SEBINTANG ini dipilih kerana berada diluar bandar dan berdekatan dengan fakulti yang berada lebih kurang 6 km daripada UniSZA Kampus Besut. Jumlah murid sekolah ini ialah 310 orang dari peringkat prasekolah sehingga Tahun 6 dan 90% daripada jumlah itu terdiri daripada golongan B40 dan keluarga nelayan.  

Kesedaran murid sekolah tentang pengurusan sisa makanan menggunakan teknik pengkomposan dan kebaikan kitar semula masih rendah terutama di kawasan luar bandar.  

Projek yang dicadangkan ini dijangka mampu untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa yang lebih baik dikalangan murid sekolah disamping meningkatkan kemahiran secara ‘hands-on’ dalam teknik penghasilan baja kompos berasaskan fras BSF ini.  

Murid juga didedahkan dengan teknik penanaman dan penjagaan tanaman secara fertigasi yang akan diberi baja kompos BSF. Ia juga membantu murid dan pihak sekolah menjana pendapatan melalui hasil baja kompos yang dihasilkan selain hasil tanaman yang ditanam. 

Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini mampu meningkatkan lagi minat murid-murid sekolah terhadap sains dan teknologi dengan cara yang lebih interaktif dan menyeronokkan dan tidak lagi menganggap subjek sains dan teknologi sesuatu yang susah dan membosankan. 

               

 Objektif 

1.            Untuk mendidik murid tentang kepentingan pengurusan sisa makanan dan kelestarian alam sekitar. 

2.            Untuk mendedahkan murid tentang teknik penghasilan baja kompos secara semulajadi melalui pembelaan lalat askar hitam (Black Soldier Fly, BSF) dengan kos yang rendah di sekolah. 

3.            Untuk mendedahkan murid tentang teknik penanaman dan penjagaan tanaman secara fertigasi. 

4.            Untuk meningkatkan minat murid tentang sains dan teknologi berkaitan bidang ilmu kelestarian alam sekitar dan pertanian. 

5.            Untuk membantu menjana pendapatan sekolah dan keluarga murid melalui penghasilan baja kompos BSF dan hasil tanaman yang ditanam.

 

 Kaedah pelaksanaan  

1.            Projek ini akan dijalankan sepenuhnya secara bersemuka selama enam bulan (Oktober 2023 Mac 2024) di Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, Besut, Terengganu dengan beberapa siri aktiviti. Seramai 20 orang murid dari Tahun 4 dan Tahun 5 akan dipilih dan mereka akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan lima ahli setiap kumpulan. Murid Tahun 6 tidak dilibatkan kerana projek ini akan berterusan sehingga sesi persekolahan baru tahun 2024. 

2.            Setiap kumpulan akan ada seorang pensyarah dan seorang guru yang akan memberi tunjuk ajar dan membantu murid dalam melaksanakan projek ini. 

3.            Setiap kumpulan akan diberi satu set lengkap bahan dan alatan untuk pembelaan dan penghasilan baja kompos BSF di sekolah. Tempat pembelaan yang sesuai akan ditentukan oleh pihak sekolah. 

4.            Setiap ahli kumpulan akan ditugaskan secara bergilir-gilir untuk menjaga, memantau dan memberi makan larva melalui sisa makanan yang dikumpul daripada kantin sekolah dan di rumah secara berkala. Baja kompos BSF yang dihasilkan akan dikumpul dan disimpan pada suhu bilik di dalam bekas dan tempat yang bersesuaian di sekolah sehingga tiba masa untuk digunakan. 

5.            Setiap murid akan ditugaskan untuk menanam dan menjaga tiga pokok terung yang setiap 

satunya ditanam di dalam polibeg berasingan secara sistem fertigasi. Pokok terung dipilih kerana cepat tumbuh dan mudah dijaga. Perkembangan pokok juga mudah dilakukan oleh murid-murid terutama selepas pemberian baja kompos BSF. Selain itu, hasil buah terung yang dituai juga dapat dimasak dan dijual. 

6.            Sebaik anak pokok dipindahkan ke polibeg, baja kompos BSF yang dihasilkan oleh murid lebih awal akan diberikan secara berkala dengan jumlah tertentu. Perkembangan pokok akan diperhatikan dan hasil akan direkodkan. 

7.            Dalam masa yang sama, 10 pokok terung akan ditanam tanpa diberikan baja kompos BSF.  

8.            Di akhir projek, murid boleh membuat perbandingan hasil tanaman antara pokok yang diberi baja kompos BSF dengan pokok yang tidak diberi baja kompos BSF melalui sesi pembentangan kumpulan. 

 Dana yang ingin dikumpulkan adalah sebanyak RM 7500  . 90% daripada dana yang disumbangkan ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan untuk menjalankan projek/penyelidikan/aktiviti ini. 10% daripada jumlah yang disumbangkan akan dimasukkan ke dalam tabung endowment penyelidikan UniSZA. Dana ini akan dilaburkan dan keuntungan yang bakal dijana akan digunakan untuk mendanai aktiviti penyelidikan UniSZA pada masa akan datang

 

No updates have been provided.

RM 100.00

Anonymous
6 months ago

RM 50.00

Anonymous
6 months ago

RM 10.00

Nor Adahaliza Othman
8 months ago

RM 50.00

Anonymous
8 months ago
No comments have been submitted.