1. Menyalurkan input literasi kewangan kepada generasi Z (komuniti sasaran) melalui Program Inisiatif Kesejahteraan Kewangan di Komuniti Kuala Nerus.
Latar Belakang Projek:
Pembuatan keputusan kewangan adalah aspek yang sangat penting dalam menjamin kesejahteraan kewangan dan seterusnya, kesejahteraan hidup seseorang individu, terutama di era lanskap kewangan masa kini yang semakin berubah dan kompleks. Terdapat pelbagai penawaran instrumen kewangan yang bersifat serba canggih dan berteknologi tinggi, membuat pengetahuan atau literasi kewangan (celik wang) menjadi faktor penting yang sangat mempengaruhi keputusan kewangan seseorang.
Peningkatan literasi kewangan memainkan peranan penting dalam membekalkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dan berperingkat. Dengan memahami konsep seperti pengurusan hutang, perancangan bajet, pelaburan, dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan kewangan, individu dapat mengambil keputusan yang lebih informasi dan berpandukan fakta. Selain itu, dalam era teknologi ini, perkembangan platform digital dan aplikasi perbankan telah membawa kemudahan kepada masyarakat dalam mengakses produk dan perkhidmatan kewangan. Namun, literasi kewangan yang baik juga penting untuk mengelakkan penyalahgunaan produk kewangan yang boleh menyebabkan masalah kewangan yang serius.
Oleh itu, pendidikan kewangan harus dipertingkatkan untuk memastikan generasi Z mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam menguruskan kewangan mereka dengan bijak. Generasi Z perlu disedarkan tentang kepentingan literasi kewangan dan pelbagai program pendidikan serta sumber-sumber yang tersedia untuk membantu meningkatkan kemahiran kewangan dan kesedaran akan risiko dan faedah yang terlibat dalam pembuatan keputusan kewangan. Dengan cara ini, generasi masa kini, termasuk Generasi Z, dapat menghadapi cabaran kewangan dengan lebih berkesan dan mencapai kesejahteraan kewangan yang lebih baik.
Pembuktian permasalahan / keperluan komuniti:
Di Malaysia, berdasarkan statistik daripada Jabatan Insolvensi, sebanyak 264,127 jumlah kes kebankrapan sehingga April 2023. Dalam tempoh 2019 sehingga April 2023, sebanyak 13,073 kes bankrap bersamaan dgn 38.40 peratus yang dilaporkan (Mustafa, 2023). Kebanyakan kes muflis ini berpunca daripada kegagalan melunaskan pinjaman terutaman pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kederaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit. Pakar Kewangan Islam dan Fintech, Muhamad Fahmi Mustafa menyatakan jumlah golongan muda yang menghadapi kebankrapan adalah tinggi dan kebanyakannya adalah mereka yang berumur 34 tahun ke bawah (Harian Metro, Disember 12, 2022).
Selain daripada itu, antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini adalah keghairahan untuk memenuhi keperluan gaya hidup yang mewah dan melangkaui kemampuan kewangan mereka. Banyak golongan muda mungkin tertarik dengan pembiayaan mudah dan cepat yang ditawarkan oleh syarikat kewangan atau institusi kredit, tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kewangan mereka. Faktor lain juga seperti ketidakbijaksanaan dalam pengurusan kewangan peribadi boleh menyebabkan hutang berlebihan dan kesukaran membayar balik pinjaman. Dalam jangka masa panjang, masalah ini boleh menyebabkan krisis kewangan dan masalah muflis.
Justeru itu, tujuan utama kajian ini adalah untuk menyelidik sejauh mana para generasi Z di Kuala Nerus telah dilengkapi dengan literasi atau pengetahuan kewangan (celik wang) sebagai persediaan untuk pembuatan keputusan kewangan yang efektif. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti faktor - faktor yang mempengaruhi tahap literasi kewangan dalam kalangan generasi Z.
Kaedah Perlaksanaan Projek:
Mengadakan Seminar atau ceramah bagi Program Inisiatif Kesejahteraan Kewangan di Komuniti Kuala Nerus dengan menjemput penceramah yang pakar dalam bidang literasi kewangan. Program ini akan mensasarkan 150 orang mahasiswa tahun akhir. Soal selidik juga akan diedarkan bagi menilai keberkesanan program kesejahteraan kewangan.
Dana yang ingin dikumpulkan adalah sebanyak RM 5802.50. 90% daripada dana yang disumbangkan ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan untuk menjalankan projek ini. 10% daripada jumlah yang disumbangkan akan dimasukkan ke dalam tabung endowment penyelidikan UniSZA. Dana ini akan dilaburkan dan keuntungan yang bakal dijana akan digunakan untuk mendanai aktiviti penyelidikan UniSZA pada masa akan datang.
RM 10.00
RM 10.00